Tuesday, July 8, 2008

Sekolah Kebangsaan Sayed Othman, Miri.

Sekolah merupakan satu tempat setiap orang untuk menimba ilmu. Disinilah bermulanya tempat mengutip setiap abjad dan angka, tempat bermulanya belajar mengeja, membaca, mengira, berdoa, mengenal dosa dan pahala, syurga dan neraka, belajar berusaha, bertata susila dan membuka minda untuk mengenali tangga-tangga kehidupan walaupun masih kabur apa yang ada dihadapan. Itulah tempat yang namanya sekolah, mungkin tidak seindah sebuah istana tapi keagungannya tidak mungkin terlupa dari ingatan bagi setiap orang yang pernah menimba ilmu dibawah bumbungnya. Kini ianya hanya sebuah sekolah tua ditengah kota.

Sejarah Lampau

Bermulanya sejarah sebuah sekolah, iaitu Sekolah Rendah Kerajaan Sayed Othman, yang telah dibina pada tahun 1951 dan telah siap pembinaannya pada awal tahun 1962. Pada bulan Februari dalam tahun yang sama, sekolah ini mula digunakan dengan hanya 6 buah bilik darjah iaitu Darjah 1 hingga Darjah 5. Murid-murid bagi pengambilan pertama sekolah ini ialah murid-murid yang dipindahkan dari Sekolah Rendah Anchi. Pada permulaannya hanya terdapat 7 orang tenaga pengajar yang berkhidmat disekolah ini termasuklah Guru Besar pada masa itu. Sekolah ini dirasmikan pembukaannya oleh Pegawai Pendidikan Pelajaran Bahagian Ke 4 ketika itu, iaitu Encik Knight seorang pegawai yang berbangsa Inggeris.


Sekolah ini telah diberikan nama, Sekolah Rendah Kerajaan Sayed Othman, kerana mengingati jasa seorang pemimpin melayu tempatan yang bernama Sayed Othman Bin Sayed Zain. Beliau adalah seorang guru agama yang giat mengembangkan Agama Islam dan juga seorang peniaga. Apabila Imam Masjid Besar Miri ketika itu, iaitu Encik Awang Tabib sudah uzur beliaulah (Sayed Othman) dilantik menjadi Imam Masjid Besar untuk menggantikan Encik Awang Tabib. Dalam tahun 1920 Sayed Othman telah mendirikan Masjid kedua di Miri, yang lebih besar dari Masjid yang pertama. Dari asjid yang kedua itu beliau meneruskan usahanya menyebarkan Syiar Islam sehingga banyaklah orang islam mendapat ilmu daripada beliau. Beliau meninggal dunia di Sibu pada tahun 1935.


Guru Besar yang pertama di sekolah Rendah Kerajaan sayed Othman ialah Encik wan Morshidi Bin Tuanku Abdul Rahman, cucu kepada Encik Sayed Othman. Daripada 7 orang guru dan 6 buah bilik darjah pada tahun 1962, Sekolah Rendah Kerajaan Sayed Othman telah berkembang kepada 21 orang tenaga pengajar, seorang kerani, seorang pekerja sekolah, seorang jururawat pergigian dan kini mempunyai 13 buah bilik darjah kesemuanya.

Masa Kini

Sejak dari sekolah tersebut dibina, hanya beberapa perkembangan yang berlaku terhadap persekitarannya. Baik dari struktur bangunan, kawasan, staf, dan sebagainya. Walau bagaimana pun, perkembangan yang terhad ini dapat memberi sedikit perubahan kepada suasana sekolah, para guru dan juga para pelajarnya.

Bangunan kayu yang lama masih lagi digunakan sebagai bilik kelas. Disinilah pelajar-pelajar tahun 1 dan 2 ditempatkan. Ianya sudah agak uzur dan sering dibaik-pulih supaya bangunan kayu tersebut sentiasa boleh diguna pakai. Hanya di sediakan dengan 2 buah kipas ceiling untuk setiap bilik kelas. Sekali imbas, sememangnya mungkin kelihatan janggal, kerana masih juga wujud bangunan sekolah yang dibina dari kayu sepenuhnya ditengah-tengah kota yang gah dengan kemajuan seperti Bandaraya Miri ini. Apatah lagi, ianya sekolah kerajaan sepenuhnya. Tidak dapat dinafikan bangunan kayu seperti ini terpaksa diberi perhatian lebih dari aspek ketahanannya jika dibandingkan dengan bangunan batu seperti bilik kelas yang baru.

Jika dahulu, Sekolah Kebangsaan Sayed Othman hanya mempunyai beberapa orang tenaga pengajar tetapi kini jumlah itu sudah kian bertambah kepada 23 orang. Kesemuanya guru yang terlatih dari Maktab Perguruan dan dari Institiut Pengajian Tinggi yang terlatih dalam bidang masing-masing. Kesemuanya dari pelbagai bangsa dan ada yang datang dari Semenanjung Malaysia. Apa yang membanggakan, walaupun berkhidmat dibawah bumbung sekolah yang tua dan usang, para guru ini menunjukkan semangat yang jitu dalam mendidik anak bangsa.

Sebagaimana juga sekolah-sekolah kerajaan yang lain yang terdapat dalam Bandaraya Miri ini, Sekolah Kebangsaan Sayed Othman juga dilengkapi dengan kemudahan asas, seperti bilik komputer dan alat bantu mengajar yang moden. Ini semua demi untuk memastikan sekolah ini tidak terlalu jauh ketinggalan dibelakang, baik dari segi prestasi akademik pelajarnya dan juga kemudahan untuk para guru yang mengajar disitu.

Faktor Pembangunan

Untuk menjalankan aktiviti luar bilik darjah seperti pendidikan jasmani dan aktiviti bersukan yang lain memang agak terhad sebab kawasan sekolah ini agak sempit. Perhimpunan pagi selalunya diadakan di padang semen yang terletak diantara bangunan sekolah. Untuk beriadah pula, para pelajar hanya menggunakan ruang padang rumput yang terletak diantara pagar sekolah dan bangunan bilik komputer. Secara umumnya, mungkin faktor ini juga yang menyebabkan sekolah ini sukar untuk dibangunkan, malah banyak aktiviti yang dirancangkan menjadi terbantut. Tetapi jika pihak berkuasa benar-benar memberi perhatian dan komitmen terhadap masalah dan ingin membangunkan sekolah ini sepenuhnya ianya tidak mustahil kerana kedudukannya yang terletak ditengah bandaraya yang sedang membangun. Apa yang penting pihak tertentu perlu meninjau dan meneliti sendiri keadaan sekolah ini pada masa kini.

Masalah Yang Perlu Diberi Perhatian

Keadaan fizikal kedua-dua jenis bangunan kelas perlu diambil perhatian segera. Kedua-dua jenis bangunan sudah begitu lama tidak di baikpulih. Banyak elemaen-elemen dalaman bangunan yang telah rosak dan perlu diperbaiki segera. Kedaan ini bukan sahaja tidak sesuai untuk dijadikan tempat belajar dan mengajar, mungkin juga membahayakan keselamatan pihak yang bernaung dibawahnya tetapi juga memalukan pihak berkuasa kerana sekolah ini merupakan sekolah penuh kerajaan.

Masa Depan Sekolah

Potensi Sekolah Kebangsaan Sayed Othman ini untuk maju dan bersaing dengan sekolah-sekolah kebangsaan yang lain di Bandaraya Miri ini sememangnya amat tinggi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak pengurusan sekolah dengan kemampuan yang ada cuba untuk meningkatkan prestasi dengan pelbagai kaedah dan sumber yang sediada. Terutama sekali dari segi prestasi pelajar-pelajarnya. Boleh dikatakan ianya agak memberangsangkan walaupun masih belum mancapai tahap seperti yang ditetapkan. Tetapi ianya mulai menampakkan sedikit kemajuan jika dibandingkan dengan beberapa tahun yang lalu.

Dalam bidang ko-kurikulum pula Sekolah Kebangsaan Sayed Othman hampir seimbang dengan sekolah-sekolah yang lain. Ini dapat di lihat dari segi peningkatannya dalam beberapa bidang ko-kurikulum yang pernah disertai. Ini ternyata bahawa 'penglibatan' itu sangat penting demi untuk memajukan dan meningkatkan daya saing setiap pelajar yang menyertai mana-mana aktiviti ko-kurikulum. Tetapi faktor 'kemudahan asas' , 'peralatan' dan juga 'bimbingan' memang di akui sangat penting untuk menaikkan lagi prestasi pelajar dari masa ke semasa, disamping sokongan padu dari kesemua ibubapa.

Persatuan IbuBapa Dan Guru yang aktif dan innovatif amatlah diperlukan di sekolah Kebangsaan Sayed Othman ini, jika ingin melihat sekolah in terus maju ke hadapan. Kerana persatuan ini berfungsi sebagai penyokong kepada kemajuan dan peningkatan sekolah sepenuhnya. Walau bagaimanapun kefahaman kesemua ibubapa yang ada disekolah ini lebih penting untuk memahami peranan masing-masing. Baik dari segi sokongan kebendaan, tenaga, wang ringgit dan sebagainya. Dan, ibubapa juga perlu mendekatkan diri dengan pihak pengurusan sekolah untuk mengetahui setiap perkembangan yang berlaku supaya ianya dapat dibincang dan mengetahui akan keberkesanan tindakan yang telah dirancang dan diambil.

Kesimpulan

Mengimbau dari sejarah lampau sekolah sehinggalah kewujudannya pada masa kini, membuktikan sekolah ini perlukan sokongan berterusan dari pelbagai pihak, samada pihak berkuasa, individu dan persatuan PIBG yag ada disekolah ini. Potensi sekolah ini untuk maju memang ada, hanya memerlukan komitmen dari semua pihak yang terlibat, dan perlukan 'anjakan paradigma'.

Jika selama ini kita berdiam diri, tapi demi kebaikkan masa depan kita sepatutnya perlu lebih expose dengan pihak berkuasa supaya mereka dapat mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh pihak sekolah. Kerjasama yang lebih erat antara PIBG dan pihak pengurusan sekolah dalam hal atau perkara sebegini amatlah diperlukan supaya dapat sama-sama tolak-menolak kehadapan, bukannya sebelah pihak sahaja terutamanya pihak sekolah semata-mata.

Nota: sambungan seterusnya pada masa akan datang..........